Awal Pengenalan : Hakikat Jin

      Jin adalah makhluk yang hidup bersama kita menghuni planet bumi ini. Bahkan kehadiran jin lebih jauh lebih dahulu dari manusia. Jin juga adalah makhluk mukallaf yang dikenakan hukum dan kewajipan seperti manusia. Kerana mereka juga memiliki akal, nafsu dan kehendak bebas. Allah S.W.T berfirman maksudnya :

“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu”.

      Namun kerana sifatnya secara umum yang tidak terlihat oleh mata manusia, maka kita kadang-kadang memperoleh gambaran-gambaran yang keliru tentang bentuk, sifat dan kehidupan jin.. Jin adalah sejenis makhluk berwujud udara sedangkan manusia memiliki lubang bulu roma, kerana itulah dia dapat masuk ke dalam tubuh manusia dari bahagian manapun juga. Makhluk jin diciptakan dari zat yang sejenis udara sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Rahman : 15 yang bermaksud :

“Dan Allah menciptakan jin dari api yang menyala”. 

Dalam hal ini Ibn Abbas berkata: Iaitu dari hujung nyalanya api, sedangkan hujung nyalanya api adalah merupakan udara panas yang keluar dari api.

      Ketika jin masuk ke dalam tubuh manusia, makhluk ini terus menuju ke otak, melalui otak ini dia dapat mempengaruhi bahagian mana sahaja yang dia sukai dari tubuh manusia. Para doktor perubatan telah mengkaji dan membuktikan bahawa orang yang terkena penyakit kerasukan jin memiliki gelombang otak yang sangat halus dan sangat aneh yang ada di dalam otaknya. Ditambah lagi dengan keterangan dari orang yang ahli tentang cara pengubatan orang yang kerasukan jin, bahawa jin itu memberitahunya bahawa mereka berada di otak manusia. Apabila ia dapat menguasai terutamanya pemikiran manusia, ketika itulah ia (jin) tadi telah berjaya menceroboh atau menembusi sistem organ tubuh dan dapat mengawal setiap pergerakan manusia. Kerana itulah banyaknya terjadi kepada mereka yang kerasukan seperti hilang daya tumpuan dan meracau serta bercakap perkara yang pelik-pelik dan mempunyai kekuatan melebihi dari tiga orang bahkan lebih daripada itu.

      Kadang-kadang penyakit yang dihadapi itu tidak dapat dikesan oleh para doktor kerana menyifatkan ia adalah perkara yang luar biasa dan mereka tidak dapat merawat kerana bukan bidang kedoktoran, maka ketika itulah disarankan supaya mencari mereka yang ahli dalam perubatan terutamanya perubatan Islam kerana ia berkonsepkan daripada wahyu Ilahi (al-Quran). Terjadinya perkelahian, permusuhan dan paling ketara iaitu penceraian adalah merupakan satu perancangan musuh jahat daripada jin ini juga . Mereka berusaha merancang dan menyusun strategi bagi menyesatkan manusia seboleh-bolehnya sehingga manusia lupa dan lalai daripada Allah.

      Sebagi insan yang beragama Islam janganlah kita lalai daripada mengigati Allah S.W.T  kerana jika kita lupa padaNya maka Allah S.W.T akan lupa kepada kita. Allah S.W.T hendak melihat sejauh manakah tahap keimanan seseorang apabila ditimba musibah yang diturunkan Allah S.W.T kepada mahkluknya. Doa adalah penting dalam kehidupan seharian kerana ia merupakan senjata bagi orang-orang Islam. Apa pun kita hanya mohon keredhaan dan kerahmatan kepadaNya dan dalam masa yang sama mohon keampunan daripadaNya sebagai insan yang sentiasa melakukan kesilapan.

Wallahu a’lam