Ayat-ayat Ruqyah

        Allah S.W.T menyuruh setiap orang Islam agar sentiasa berdoa kepadaNya dan Dia akan memperkenankan. Orang yang berdoa beerti ia ingatkan Allah Ta’ala. Allah S.W.T  juga mahukan setiap hambaNya agar mengingatiNya pada zikir lidah dan juga hati pada setiap amalan. Setiap perbuatan mesti dilakukan kerana Allah S.W.T bagi membolehkan perbuatan itu dikira sebagai ibadah.

       Manusia secara umum mengenali beberapa sistem rawatan penyakit yang diketengahkan untuk diterima pakai. Umum kurang mengenali rawatan Islam kerana tidak di ketengahkan, sedangkan ianya telah lama wujud bersama lahirnya Islam di dunia ini. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w pengubatan dan perubatan Islam diwujudkan bagi memenuhi keperluan muslimin dan muslimat ketika itu  yang secara tabi’inya tiada manusia yang tidak sakit. Maka tentulah sistem rawatan penyakit secara Islam diperlukan bagi mengatasi masalah penyakit yang berlaku.

       Pengubatan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w adalah berasaskan wahyu Ilahi, dilaksanakan oleh umat Islam atas petunjuk Rasulullah s.a.w dengan kata-kata, perbuatan atau yang dipersetujuinya. Firman Allah S.W.T dalam surah As-Syu’ara’ : 80 bermaksud

” Apabila aku sakit maka Dia (Allah) yang menyembuhkan”.

        Oleh yang demikian ada dalam al-Quran ayat-ayat penyembuh yang boleh digunakan sebagai ikhtiar kesembuhan samada untuk penyakit jasmani mahupun rohani. Khusus mengenai istilah Syifa’ yang bererti kesembuhan penyakit sebagai rahmat dan penyembuh. Sesungguhnya di dalam al-Quran banyak menyebut tentang ayat-ayat kesembuhan (Ayatul Syifa’) yang membentangkan pelbagai pengajaran penting berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan diri. Ayat-ayat yang dimaksudkan antaranya ialah:

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang berimandan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”.

                                                                                              (Al-Isra’ : 82)

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :

” Berubatlah wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan (bersamanya) diturunkan ubat. Diketahui oleh orang yang berusaha mencarinya dan tidak diketahui oleh orang yang jahil (tidak berbuat apa-apa)”.    (H.R Abu Daud dan Al-Tirmizi)

        Perubatan Islam adalah menifestasi dari sistem rawatan rabbani yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Ianya meliputi segala bidang rawatan yang dapat dikembangkan oleh manusia muslim demi mengharapkan redha Allah semat-mata. Ianya suatu ibadah. Allah menjadikan penyakit dan dia juga menjadikan untuknya ubat. Manusia disarankan berusaha mencari ubat, apabila sesuai ubat dengan penyakit untuk sembuh maka disembuhkanlah oleh Allah. Ada pun metodnya terserahlah kepada kebijaksanaan mereka dengan berpandukan petunjuk Allah S.W.T. Terlalu banyak ikhtiar menyembuhkan penyakit salah satu cabangnya menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa disamping  bahan-bahan pengubatan yang diketahui kemujarabannya dari penelitian dan penyelidikan yang dijalankan. Wallahu a’lam.

Tinggalkan komen