Konsep dan Amalan Dalam Perubatan Islam

Manusia secara umumnya mengenali beberapa sistem rawatan penyakit yang diketengahkan untuk diterima pakai. Secara umumnya ramaiyang kurang mengenali rawatan Islam kerana  tidak diketengahkan sedangkan ianya telah lama wujud bersama lahirnya Islam di dunia ini.  Pengubatan Islam berkonsepkan wahyu Ilahi yang diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Perubatan adalah amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama kerana sesiapa sahaja boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan zaman Nabi Adam a.s sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam sekitaran. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :

“Setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati”

Walaupun berbagai jenis ubat telah dicipta oleh manusia, namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca dan ubatnya. Umat Islam juga tidak terkecuali dari diserang dan berbagai usaha dan cara dilakukan untuk merawat penyakit. Baginda menekankan pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu.

Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat setengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh Baginda berasaskan aqidah dan nilai-nilai Islam. Mungkin pada zaman itu belum banyak lagi jenis ubat-ubatan yang terdapat untuk merawat berbagai jenis penyakit berbanding dengan ribuan jenis ubat farmasi dan berbagai rawatan yang ada dipasaran masa kini.

Tiada kata sepakat tentang definisi sebenar perubatan Islam. Ramai yang mentafsirkan istilah perubatan Islam mengikut selera atau cara gaya mereka sendiri demi untuk mengiktiraf apa yang mereka amalkan adalah perubatan Islam sebenar. Justeru itu tedapat kekeliruan di kalangan orang ramai tentang apa yang sebenarnya perubatan Islam.

Perubatan Islam adalah satu budang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan di mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ia bukannya satu kaedah rawatan yang biasanya diamalkan oleh pengamal-pengamal tradisional tetapi ia merupakan keseluruhan konsep ilmu dan amalan perubatan.

Perubatan Islam perlu memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut :

  • Ia adalah satu jurusan ilmu dan amalan yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan yang cemerlang dan sesuai untuk semua golongan ummah tanpa mengira bangsa, agama atau darjat.
  • Ilmu dan amalan perubatan Islam mestilah berlandaskan aqidah Islam dan mereka yang terlibat dalam memberi rawatan adalah orang yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan disamping menjadi orang yang beriman dan bertaqwa.
  • Amalan perubatan Islam perlu patuh kepada undang-undang syari’ah Islam khususnya bagi tatacara ujian dan kaedah rawatan yang mungkin controversial dan boleh mengancam hak asasi manusia.
  • Amalan perubatan Islam perlu menyentuh keseluruhan manusia untuk merangkumi aspek-aspek kerohanian, mental dan fizikal. Proses pengubatan bukan sahaja melibatkan individu yang sakit sahaja malah patut melibatkan ahli-ahli keluarga dan masyarakat.
  • Kaedah rawatan untuk pesakit sepatutnya semua cara asalkan ia tidak menyebabkan seseorang itu menjadi syirik.

Kaedah pengubatan Islam merupakan satu cabang usaha penyakit dalam mencari kesembuhan penyakit yang sedang dialami. Walaubagaimanapun, ia bukanlah bertujuan untuk mengambil alih peranan rawatan moden. Malah ia juga bukanlah untuk rawatan penyakit yang berpunca dari makhluk halus semata-mata. Pengubatan Islam adalah satu kaedah yang berasaskan wahyu Ilahi yang diturunkan melalui al-Quran dan as-Sunnah. Ia juga bertemakan amalan as-Salafussoleh, Ahluz-Zikr dan pengalaman ahli perubatan Islam yang muktabar.

Pengubatan Islam sekali-sekali tidak boleh dicampur-adukkan diantara yang halal dan haram. Ia juga menolak secara keseluruhan kaedah yang berunsurkan syirik. Tambahan pula ianya merupakan satu ibadah bagi setiap  Mu’min yang mencari keredhaanNya. Setiap Mu’min disuruh untuk berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi. Penyakit juga suatu penghapus dosa dan mati di dalamnya membawa hati yang sejahtera di sisi Allah S.W.T